Monday 1 April 2013

PELABUR EMAS MESTI IKUT NASIHAT PAKAR





Kuala Lumpur: Public Gold Group Sdn Bhd yang menyasar disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang 2014, mengingatkan pelabur emas membuat pelaburan berasaskan maklumat supaya tidak terperangkap dengan skim pelaburan palsu.

Syarikat penempa, penulen dan dagangan jongkong emas serta perak itu berharap orang ramai dan pembeli emas tahu logam itu sebenarnya lebih terarah sebagai instrumen pelindung nilai daripada inflasi, justeru bukannya kelas aset pemberi pulangan.

Sehubungan itu, pelabur dan orang ramai yang mahu membeli emas sebagai alat pelindung nilai perlu mendapat maklumat menyeluruh daripada pihak yang pakar dalam bidang itu sebelum membuat keputusan pembelian.

Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Louis Ng, berkata ramai pembeli terperangkap dengan modus operandi sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pulangan segera tidak munasabah daripada pembelian emas.

Syarikat skim pelaburan emas menjual emas jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sebenar di samping menjanjikan peratus pulangan tertentu setiap bulan.

Kumpulan itu juga biasanya menetapkan harga dan tempoh belian balik tertentu mengikut kontrak, di samping beroperasi menggunakan model Skim Ponzi, katanya dalam satu pertemuan dengan BH di sini.

Ng berkata, syarikat pelaburan emas yang tulen tidak mengemukakan tawaran sedemikian, sebaliknya berurusniaga mengikut harga semasa di pasaran antarabangsa.

Pembeli perlu mendapat maklumat semasa yang boleh diperoleh daripada pelbagai sumber tulen sebelum membuat keputusan mendapatkan emas (untuk pelaburan), katanya.

Beliau mengulas mengenai ramai kalangan pelabur yang terperangkap dengan pelaburan emas apabila pihak berkuasa menyerbu dan membekukan aset beberapa syarikat pengendali dipercayai beroperasi seperti skim cepat kaya.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dilaporkan berkata, Bank Negara mengesan 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion dalam sebuah syarikat pelaburan jongkong emas.

Bank Negara Malaysia dalam kenyataannya pada awal Oktober lalu memberitahu membekukan aset dan akaun yang disita hasil serbuan dilakukan terhadap empat syarikat yang menawarkan skim pelaburan jongkong emas iaitu Genneva Malaysia Sdn Bhd, Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd.

Public Gold ialah antara syarikat yang bergiat dalam perniagaan emas dengan kegiatan terasnya termasuk menempa dan menulen emas.

Ia juga menawarkan perkhidmatan dagangan dan tukaran emas serta menyediakan kemudahan simpanan selamat kepada pelanggan.

Syarikat itu yang beribu pejabat di Pulau Pinang, menerusi anak syarikatnya, Public Gold Marketing Sdn Bhd akhir bulan lalu dikeluarkan daripada senarai Peringatan Pengguna Bank Negara Malaysia selepas model perniagaannya didapati tulen serta tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna.

Mengulas lanjut, Ng berkata, operasi perniagaan Public Gold hanyalah semata-mata dagangan jongkong emas dan perak bagi tujuan simpanan kekayaan.

Sejak ditubuhkan pada 2008, Public Gold komited menawarkan pelan simpanan emas fizikal yang selamat untuk masa depan.
Public Gold mengamalkan model perniagaan telus di mana kami hanya membeli dan menjual jongkong emas dan perak tanpa memberikan tawaran tidak realistik kepada pelanggan, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelaburemasmestiikutnasihatpakar/m/mArticle

1 comment:

  1. Assalamualaikum wbt. Seorang lelaki Melayu asnaf fakir miskin bernama Adila Bin Suboh. Dia berumur 44 tahun. Dia berasal dari Melaka. Dia sentiasa berada dalam keadaan daif dan hidup dalam serba kekurangan. Dia tidak mampu menyara keluarganya kerana kesempitan wang. Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan wang secara ikhlas, boleh derma ke akaun maybank dia 151089317354 Adila Bin Suboh. Sumbangan anda dapat meringankan beban orang yang memerlukannya. Terima kasih.

    ReplyDelete